mutakhir

Maut dirempuh lori terbabas

Oleh Safuri Kamarudin

PENGAWAL keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh lori yang terbabas di Kilometer 7.6, Jalan Baling-Pengkalan Hulu berdekatan Gunung Inas, Baling, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian 7.30 malam, mangsa Ahmad Khir Abdul Ghani, 54, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di MIK 4, Jalan Tasek Kawasan Masjid Grik, Pengkalan Hulu, Perak.

Beliau berkata, mangsa bertugas sebagai Pengawal Keselamatan di Hospital Baling (HB) dan dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dari arah Pengkalan Hulu ke Baling hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar mangsa dari arah bertentangan.

"Pemandu lori hilang kawalan ketika menurun bukit berselekoh dalam keadaan hujan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Syed Basri berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di sebelah kiri jalan arah ke Pengkalan Hulu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan sudah ditahan untuk membantu siasatan polis.

"Mayat mangsa di hantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut ahli keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 11:57am
d