mutakhir

'Dulu tak mampu terima, kini saya reda'

Oleh Siti Rohana Idris

SEBAIK dimaklumkan bayi yang baharu dilahirkan menghidap sindrom down, nafasnya seakan terhenti kerana langsung tidak menjangka dikurniakan anak istimewa.

Berbulan lamanya Khalijah Ibrahim, 46, mengambil masa untuk berlapang dada menerima anugerah Ilahi yang pada awalnya menganggap ia ujian besar buatnya.

Bukan sahaja menghidap penyakit itu, bayi lelaki yang dinamakan Khairun Nas Karim yang kini mencecah usia dua tahun juga mengalami saluran pemakanan yang sempit dan memaksanya bergantung kepada susu khas yang dimasukkan menerusi tiub di hidung.

Khalijah yang bekerja sebagai pembantu perawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Pasir Pekan, Tumpat, tidak menafikan agak terbeban pada awal tugasnya menguruskan Khairun Nas memandangkan tidak pernah ada pengalaman sebegitu malah tidak disangka bayi yang dikandung mempunyai masalah.

"Sepanjang tempoh kehamilan, saya tidak mempunyai sebarang masalah dan proses kelahiran anak kelima ini juga tidak berdepan dengan kesukaran.

"Sebaik dilahirkan, doktor memberitahu bahawa bayi saya menghidap sindrom down dan ketika itu Allah sahaja yang tahu perasaan saya yang bercampur baur kerana tidak menjangkakan bayi yang dilahirkan ini 'istimewa'.

"Saya juga diberitahu bahawa bayi ini mempunyai masalah saluran makan dan segala masalah itu membuatkan saya ada kalanya tidak mampu menerima dengan tenang namun dengan bantuan keluarga terutama suami, Alhamdulillah keadaan semakin baik dan saya terima dengan reda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat, baru-baru ini.

Khalijah berkata, dia juga terpaksa mengambil cuti dengan separuh gaji selama enam bulan bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk menguruskan Khairun Nas.

Menurutnya, selain perlu diberikan susu setiap tiga jam sekali, Khairun Nas juga perlu dirujuk kepada ramai pakar perubatan termasuk Paediatrik, mata, fisiologi dan tekak.

"Bagi perbelanjaan susu khas Khairun Nas sahaja kami perlu memperuntukkan lebih RM600 dan pendapatan saya bersama suami yang bekerja sebagai tukang rumah hanyalah cukup makan.

"Setakat ini memang belum pernah lagi terputus bekalan susu tapi kami juga perlu menyara dua lagi anak yang masih bersekolah," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang hadir memberi sumbangan sejumlah susu khas dan lampin pakai buang untuk bekalan Khairun Nas selama enam bulan.

Turut disumbangkan juga wang tunai sebanyak RM1,000 untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung Khalijah sekeluarga.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 12:09pm
d