mutakhir

Ditahan jual jam tiruan

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

TINDAKAN seorang lelaki berumur 29 tahun mengaut keuntungan mudah dengan menjual pelbagai jam tangan tiruan bernilai RM2,500 mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut, semalam.

Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail berkata, sebanyak 125 unit jam tangan tiruan jenama popular bernilai RM2,500 dirampas dalam Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di sini kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

"Serbuan turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar itu berjaya menahan seorang peniaga warga tempatan untuk membantu siasatan.

"Tindakan itu dibuat susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan yang dijual peniaga berkenaan adalah tiruan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peniaga terbabit beroperasi di sebuah rumah yang didaftarkan sebagai premis perniagaan.

"Hasil serbuan itu membongkar aktiviti peniaga tidak beretika yang ingin mendapatkan keuntungan mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna," katanya.

Azani berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 102 (1) (c), Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102 (1) ( ii) akta yang sama.

Katanya, jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik peniaga tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah.

"Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 12:32pm
d