mutakhir

Dua sindiket dadah terbesar tumpas dalam tempoh PKP [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menumpaskan dua sindiket dadah terbesar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan merampas 296.8 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM25.6 juta dalam serbuan Ops Heron dan Ops Watercress pada 22 hingga 24 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ramli Din berkata, pihaknya menahan 21 individu tempatan termasuk empat wanita dan dua wanita warga asing masing-masing dari Vietnam serta Thailand berusia antara 25 hingga 57 tahun yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah didalangi dua sindiket berkenaan.

"Bagi kedua-dua operasi ini sebanyak 13 serbuan dilakukan di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pahang dengan enam daripada serbuan itu membabitkan Ops Heron, manakala selebihnya adalah Ops Watercress.

"Hasil serbuan ini, kami merampas 68 kg syabu, 228.6 kg ekstasi, 208 gram pil kuda dan 750 milimeter cecair methaphetamin yang dianggarkan bernilai RM25.6 juta iaitu jumlah terbesar bagi tempoh sepanjang PKP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ramli berkata, pihak polis turut menyita 15 kenderaan iaitu Nissan Fairlady, Mercedes Benz, BMX X5, Toyota Harier, Toyota Hilux, Honda CRV, Toyota Altis, Toyota Vios, Kia Optima, Proton Waja, dua Honda Accord dan tiga Perodua Myvi dalam dua operasi berkenaan.

"Selain itu, kami juga menyita wang tunai berjumlah RM1.28 juta serta pelbagai barang kemas dan jam berjenama yang menjadikan jumlah keseluruhan sitaan adalah RM2.35 juta.

"Hasil dadah yang dirampas dalam dua operasi ini pula dianggarkan boleh memuaskan seramai 1.10 juta penagih," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan pihaknya mendapati kedua-dua sindiket itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah bagi tempoh antara sembilan hingga 12 bulan lalu.

"Bagi sindiket tangkapan dalam Ops Heron, kami percaya sindiket itu mengedar dadah berkenaan di Indonesia melalui jalan laut di Johor, Melaka serta Negeri Sembilan serta di Sabah menggunakan laluan udara.

"Satu lagi sindiket yang ditahan dalam Ops Watercress pula disyaki mengedar dadah bagi pasaran tempatan. Kami masih lagi menyiasat dari mana kedua-dua sindiket ini mendapatkan bekalan dadah," katanya.

Katanya, semua suspek yang ditahan direman sehingga 28 hingga 31 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami juga masih mengesan saki baki kedua-dua sindiket ini dan JSJN komited dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 1:10pm
d