mutakhir

Buaya sesat masuk longkang

Oleh Erika George

PENDUDUK taman perumahan di Promin Jaya, Senadin, Miri, dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya yang tersesat di longkang besar tepi jalan, malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, seramai empat anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dari orang awam pada jam 10 malam.

"Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan kita mendapati sememangnya ada seekor buaya sepanjang dua meter dalam longkang terbabit," katanya.

Menurutnya, APM mengambil masa hampir satu jam bagi menangkap reptilia itu dengan menggunakan tali khas untuk menjerut reptilia itu.

Menurutnya, ia kemudiannya dinaikkan ke darat kira-kira jam 11 malam.

"Pihak APM dalam pada itu menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan perumahan kawasan Senadin agar sentiasa berhati-hati kerana buaya kerap tersesat ke longkang terutama ketika air pasang besar," katanya.

Buaya terbabit diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

Pada Oktober 2016, buaya tidak lagi disenaraikan sebagai haiwan liar yang dilindungi seperti termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 2:11pm
d