mutakhir

Penyokong Najib akan dikompaun jika degil tak patuh SOP

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berada di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini sekiranya mereka masih berdegil dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, pihaknya menganggarkan seramai 600 hingga 700 orang awam hadir, hari ini, namun jumlah itu bagaimanapun dilihat semakin berkurangan kemungkinan atas faktor cuaca.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati penyokong Najib mula berarak dari Masjid Wilayah dalam jumlah yang ramai.

"Susulan itu kita membuat beberapa siri hebahan supaya mereka patuh SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari segi penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial.

"Awalnya mereka tidak mengendahkan arahan polis, tetapi selepas berulang arahan diberikan, mereka mula patuh," katanya ketika ditemui media.

Katanya, setakat ini keadaan di sini terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini namun, sekiranya masih ada yang berdegil, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

"Seramai 200 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terbabit dalam mengawal keadaan di sekitar kompleks mahkamah.

"Sebanyak dua sekatan jalan raya juga dilaksanakan di laluan masuk mahkamah," katanya.

Beliau juga menasihatkan semua pihak menjaga SOP ini walaupun selepas Najib keluar dari mahkamah.

"Kita tidak mahu wujud kluster baru di sini (mahkamah).

"Kita juga tidak mahu ambil tindakan drastik kerana tidak mahu dilihat sebagai pencetus provokasi sebab itu kita amal nasihat tetapi tegas," katanya.

Berita Berkaitan

  • Pasukan Najib mahu rayuan ringan hukuman ditangguhkan
  • Kes SRC: Najib bersalah! [METROTV]
  • Warganet risau wujud kluster Najib
  • Kronologi kes SRC
  • Najib tiba di mahkamah
  • Kes SRC: Hanya 10 media dibenar masuk mahkamah>
  • Kes SRC: Ratusan penyokong hadir ke mahkamah
  • Nasib Najib ditentukan 10 pagi ini
  • Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 3:05pm
    d