mutakhir

Tunggu arahan Dr Noor Hisham laksana sekatan jalan raya

Oleh Mohd Roji Kawi

POLIS Sarawak masih menunggu arahan lanjut daripada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah untuk melaksanakan sekatan jalan raya sebagai langkah kawalan pergerakan antara daerah di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi sekatan jalan raya namun mesyuarat lanjut akan diadakan untuk menentukan jumlah sebenar lokasi pelaksanaannya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya menetapkan sekatan jalan raya akan dilaksanakan di laluan keluar dari Kuching, Samarahan dan Serian yang dikategorikan sebagai Zon 1 atau zon merah dan kuning pandemik Covid-19 di Sarawak.

"Sekatan tidak dijalankan di Zon 2 atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

"Sekatan jalan raya itu akan kita mulakan pada 1 Ogos nanti, namun ia bergantung kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan. Jika diluluskan, kita akan laksanakan pada tengah malam itu juga," katanya.

Dev berkata, bagi Bahagian Kuching, sekatan akan dilaksanakan di laluan keluar termasuk ke daerah Lundu dan Bau, begitu juga dari Samarahan yang bersempadan dengan Betong serta di Serian yang bersempadan dengan Sri Aman.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan kerajaan Sarawak untuk mengehadkan pergerakan perjalanan antara zon mulai 1 hingga 14 Ogos ini.

Beliau berkata, individu yang ingin bergerak antara zon yang ditetapkan perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia manakala pergerakan dalam zon dibenarkan.

Mengulas lanjut, Dev berkata, sekatan jalan itu akan dilaksanakan polis bersama agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 3:09pm
d