mutakhir

Isteri dihanyutkan 'kepala air'

Oleh Siti Rohana Idris

WANITA warga emas yang dihanyutkan arus di Sungai Kenerong, Kuala Krai, petang semalam masih belum ditemui.

Mangsa, Saedah Hassan, 66, terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus disebabkan fenomena kepala air ketika memancing bersama suaminya, Latif Muhamad, 61, di sungai terbabit.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Machang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fairus Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.30 malam tadi mengenai dua mangsa yang terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus.

"Sebelum kejadian, suami isteri itu memancing di situ dan secara tiba-tiba datang kepala air menerpa ke arah mereka menyebabkan dua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai dan dibawa arus.

"Suami mangsa dibawa arus ke tepi sungai dan dia sempat memaut dahan pokok manakala isterinya pula terus hanyut di sungai itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak malam tadi dan bersambung hari ini pada 8 pagi tadi.

Seramai 22 anggota termasuk dua Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Tumpat dan BBP Kota Bharu terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Mohd Fairus berkata, setakat ini, kawasan SAR meliputi 500 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

"Operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar walau berdepan dengan sedikit kesukaran iaitu arus yang kadangkala deras dan air berpusar.

"Setakat ini kami masih belum menemui sebarang petunjuk dan operasi akan diteruskan dari masa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 4:28pm
d