mutakhir

Pasang 15 perangkap paku di ladang ketum

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

SUDAHLAH menceroboh tanah kerajaan untuk menanam ketum, individu yang belum dikenal pasti itu turut menanam perangkap diperbuat daripada paku untuk melindungi kawasan tanaman daripada dimasuki pihak berkuasa.

Dalam operasi bersepadu pemusnahan pokok ketum yang dijalankan Pejabat Tanah dan Daerah Jempol di Felda Lui Selatan hari ini, sejumlah 15 perangkap ditemui oleh pihak berkuasa yang ditanam di sekeliling kawasan penanaman ketum seluas 1.2 hektar.

Pegawai Daerah Jempol Syahrul Nizam Salleh berkata, sebanyak 3,000 pokok ketum berusia enam bulan dimusnahkan dalam operasi bersama polis itu.

Katanya, penemuan perangkap membuktikan penanam ketum berkenaan mahu menakutkan usaha pihak berkuasa.

"Kita memandang serius usaha individu terbabit menanam ketum dan mengambil tindakan sewajarnya memusnahkan tanaman berkenaan.

"Ini adalah operasi ketiga yang kita jalankan bagi memusnahkan pokok ketum yang menjadikan tanah kerajaan di Felda Lui Selatan sebagai lokasi utama penanaman," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif.

Syahrul berkata, setakat ini dipercayai seorang penanam terbabit dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu berkenaan.

Katanya, menceroboh tanah kerajaan adalah kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 6:29pm
d