mutakhir

Bantu pencari kerja

Oleh Omar Ahmad

BIRO MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan dan kerjasama Wanita Umno Johor Bahru menubuhkan satu pasukan khas membantu rakyat yang kehilangan kerja akibat Covid-19.

Pasukan yang ditubuhkan sejak dua minggu lalu itu berperanan mencari majikan yang memerlukan pekerja dalam kalangan warga tempatan.

Ketuanya, Michael Tay Chee Boon berkata, sehubungan itu berharap ada syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada rakyat yang kehilangan kerja akibat Covid-19 khususnya mereka yang bekerja di Singapura.

"Pasukan khas itu ditubuhkan khusus bagi memberi peluang kepada orang ramai yang kehilangan kerja semasa PKP terutamanya rakyat yang kehilangan kerja di Singapura.

"Kini terdapat lima syarikat dalam bidang pelancongan, logistik dan makanan yang membantu jawatankuasa terbabit bagi memberi peluang pekerjaan," katanya.

Katanya, sebagai permulaan tiga syarikat tampil menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang itu dan pihaknya menerima hampir 500 panggilan daripada pencari kerja dalam tempoh dua hari lalu.

Dalam pada itu, Michael Tay berkata, jumlah individu muflis di negara ini dijangka meningkat menjelang akhir tahun berikutan tempoh moratorium selama enam bulan tamat September depan.

Katanya, antara yang menyumbang kepada situasi itu ialah disebabkan majoriti individu yang kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum mempunyai sumber pendapatan baru.

Selepas tempoh moratorium tamat September ini, orang ramai perlu kembali membayar ansuran pinjaman rumah, peribadi dan kereta.

"Sekiranya mereka kehilangan kerja dalam tempoh ini, ia pasti akan menimbulkan masalah seperti muflis," katanya.

Katanya, antara yang boleh dilakukan peminjam ialah berhubung dengan bank untuk menstruktur semula pinjaman atau membuat pinjaman semula (refinance).

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 6:57pm
d