mutakhir

Lima ditahan bersama 18,000 pil kuda [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

POLIS Kelantan merampas 18,000 biji pil kuda bernilai RM180,000 dalam dua serbuan berbeza membabitkan sindiket pengedaran dadah aktif di sekitar Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam kejadian 5 petang, anggota membuat intipan berdekatan Hospital Pasir Mas (HPM) dan terserempak seorang lelaki berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Lelaki berkenaan didatangi kereta Perodua Kelisa berwarna putih. Anggota menghampiri mereka dan mendapati lelaki dan wanita di dalam kereta terbabit yang menghampiri suspek pertama.

"Sebaik memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa, berlaku pergelutan. Kemudian, anggota membuat pemeriksaan pada kenderaan sebelum menemui bungkusan berbalut berisi plastik biru dipercayai mengandungi pil kuda.

"Hasil siasatan, terdapat 12,000 biji pil kuda terdiri daripada 11,800 pil berwarna merah dan 120 pil kehijauan yang bernilai RM120,000 dipercayai untuk dipasarkan sekitar Pasir Mas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, ketiga-tiga suspek termasuk suami isteri berusia 26 dan 25 tahun ditangkap, selain pihaknya turut merampas dan menyita harta milik mereka iaitu sebuah kereta Mitsubihi ASX, motosikal Honda Ex-5, rantai leher dan gelang emas.

Beliau berkata, susulan daripada tangkapan terbabit, anggota membuat serbuan kedua di kedai makan di Kampung Dangar, Pasir Mas, pada 6.30 petang hari sama.

"Ketika sampai ke lokasi, anggota terus ke kereta Perodua Myvi berwarna biru diparkir di kedai terbabit sebelum menemui seorang wanita berusia 30 tahun sedang memegang plastik yang kemudian diletakkan di dalam bakul motosikal diparkir tempat sama.

"Suspek kembali ke kereta yang turut dinaiki seorang lelaki berusia 33 tahun. Kedua-dua suspek terkejut dengan kehadiran anggota dan berlaku pergelutan sebelum pemeriksaan dilakukan lebih lanjut terhadap bungkusan plastik terbabit.

"Hasil pemeriksaan, anggota menemui bungkusan berisi pil disyaki pil kuda sebanyak 6,000 biji dengan nilai pasaran berjumlah RM60,000," katanya.

Hasanuddin berkata, semua lima suspek ditangkap semalam ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Julai sehingga 2 Ogos untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 7:58pm
d