mutakhir

Serik jadi tokan, sasar cemerlang SPM

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"SAYA akan memanfaatkan tempoh tahanan itu sebaik mungkin untuk belajar seterusnya mencipta kejayaan dalam peperiksaan," kata Man (bukan nama sebenar).

Man, 21, adalah antara 14 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Sekolah Integriti Penjara Marang (SIPM) dan ditemui ketika Program Lawatan Muhibbah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) ke SIPM, Marang, hari ini.

Man berkata, dia berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun dan terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

"Saya tidak mengambil dadah, tetapi menjualkan kepada penagih dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit sehari.

"Perpecahan keluarga menyebabkan hidup saya tidak terurus sebelum tersilap memilih kawan yang terbabit dengan jenayah.

"Desakan hidup memaksa saya terbabit dalam kegiatan pengedar dadah sebelum ditangkap pada Jun 2019," katanya.

Hadir sama pada program itu Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Abdul Muie Ngah dan Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman.

Menurutnya, dia dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan akan dibebaskan pada 24 September 2021.

Katanya, tempoh hukuman itu akan dimanfaatkan untuk sesuatu yang memberi kebaikan kepada dirinya.

"Saya ingin membuktikan kemampuan dan memberi keyakinan kepada semua orang penghuni penjara mampu untuk berjaya.

"Sasaran saya untuk memperoleh 7 A dalam SPM termasuk dalam mata pelajaran digemari iaitu Bahasa Inggeris dan Sains.

"Sebagai anak, saya tidak ingin lagi mengecewakan keluarga terutama ibu yang selama ini kerap datang menjenguk saya di Penjara Marang," katanya.

Sementara itu, Salim berkata, pihaknya akan memastikan segala keperluan pembelajaran diperoleh calon bakal menduduki peperiksaan SPM di SIPM.

Beliau berkata, kejayaan calon SPM daripada sekolah itu membuktikan tiada alasan untuk pelajar atau sesiapa sahaja mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Disiarkan pada: July 28, 2020 @ 11:59pm
d