mutakhir

Aliran trafik ke Pantai Timur dijangka bertambah

Oleh Mohd Rafi Mamat

ALIRAN trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) ke Pantai Timur dijangka bertambah lebih 50 peratus, bermula hari ini dan esok.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, jangkaan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 kenderaan itu berikutan orang ramai akan mengambil peluang pulang ke kampung sempena Aidiladha, Jumaat ini.

Menurutnya, berikutan jangkaan peningkatan aliran trafik itu, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di dua lebuh raya berkenaan dibuka kepada pengguna dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

"Pembukaan semua kemudahan awam di kawasan R&R sepanjang lebuh raya kendalian ANIH Berhad dibuat mengikut SOP selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.

"Bagaimanapun kemudahan R&R akan ditutup sementara kepada pengguna sekiranya berlaku kesesakan yang keterlaluan," katanya melalui kenyataan, semalam.

Nik Fauzi berkata, sekiranya berlaku kesesakan pengguna dinasihatkan meneruskan perjalanan dan berhenti di kawasan R&R seterusnya.

Tambahnya, pada masa sama pihak konsesi akan terus menjalankan kerja sanitasi, pembersihan nyahkuman serta nyahcemar sebagai langkah tambahan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Beliau berkata, pengguna yang ingin pulang ke kampung diingatkan supaya merancang perjalanan dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan ANIH Berhad di laman sosial media syarikat iaitu Twitter di @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur bagi membantu melancarkan perjalanan serta mendapatkan maklumat rasmi terkini mengenai fasiliti perkhidmatan dan kemas kini trafik di Lebuhraya KLK dan LPT 1.

Katanya, TTA dikeluarkan bagi membantu pengguna merujuk waktu perjalanan yang sesuai sebelum menuju ke lebuh raya bertujuan mengawal jumlah pergerakan trafik dan dilihat sebagai antara pendekatan terbaik membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

"Sebagai pengendali Lebuhraya KLK dan LPT 1, Anih Berhad menyedari kepentingan memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk dilalui.

"Saya juga akan terus memastikan kakitangan serta peralatan terdapat di lebuh raya sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan 24 jam terbaik kepada pengguna.

"Syarikat juga akan terus bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa lain bagi memastikan Lebuhraya KLK dan LPT 1 berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk dilalui," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga diingatkan supaya sentiasa memastikan baki nilai kad Touch n Go (TNG) mencukupi kerana tiada urusan transaksi tambah nilai di lorong tol, manakala Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di plaza tol pula hanya beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya membuat tambah nilai terlebih dahulu sebelum memasuki lebuh raya atau membuat transaksi tambah nilai kad di kiosk tambah nilai layan diri (SSK) yang terdapat di Hentian Sebelah Gombak (arah barat sahaja), R&R Genting Sempah, R&R Temerloh (arah timur atau barat) dan Plaza Tol Gambang.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 1:23pm
d