mutakhir

Tiada laporan kes kemalangan langgar minyak masak

Oleh Noorazura Abdul Rahman

POLIS menafikan berlaku kejadian kemalangan motosikal yang dipercayai tergelincir akibat melanggar bungkusan minyak masak di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan di Sungai Petani seperti tular di media sosial hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Shamsudin Mamat berkata, sehingga kini tiada laporan dibuat mengenai kemalangan berkenaan oleh mana-mana pihak.

Katanya, pemeriksaan dilakukan di sepanjang Lebuh Raya PLUS sekitar Sungai Petani menghala ke arah selatan mendapati tiada kesan minyak masak ditemui di atas laluan berkenaan.

"Polis Peronda Lebuh Raya PLUS mengesahkan tiada kejadian seperti yang tular berlaku di sepanjang lebuh raya sekitar Sungai Petani.

"Bagaimanapun jika orang ramai mempunyai maklumat berkaitan, mereka boleh memaklumkannya kepada polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hari ini, tular di media sosial kejadian motosikal terbabas sehingga bahagian tayar hadapannya patah selepas tergelincir akibat terlanggar minyak masak di lebuh raya berkenaan.

Melalui gambar yang dikongsi di laman sosial Facebook, terdapat beberapa bungkusan minyak masak yang mungkin dilempar atau terjatuh dari lori di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 2:17pm
d