mutakhir

Geng curi kenderaan mewah tumpas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SASAR kereta mewah yang diingini pelanggan sebelum menggunakan peralatan elektronik 'Universal Auto Key Programmer' atau 'hacker' untuk mencuri kenderaan terbabit.

Malah, kumpulan pencuri kereta dikenali Geng Ah Hong itu turut menggunakan 'jammer' bagi menyahaktif sistem pengesanan lokasi (GPS) bagi mengelak kenderaan itu dapat dikesan.

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini terbongkar selepas penahanan sembilan lelaki berusia 32 hingga 66 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Ah Hong.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kumpulan penjenayah itu mencari pembeli yang berminat melalui media sosial seperti Wechat.

Menurutnya, ahli kumpulan itu akan mencari kereta mewah sasaran sebelum dijual semula pada harga rendah bermula RM18,000 sehingga ke RM27,000.

Katanya, kereta yang dicuri itu dipercayai turut dijual di negara jiran dan siasatan mendapati suspek juga melakukan kegiatan pecah rumah.

"Kesemua suspek ditahan hasil risikan bermula 23 Julai lalu hingga semalam di sekitar Desa Jaya, Selayang, Pandan Indah, Klang dan Mantin, Negeri Sembilan.

"Hasil penahanan mereka, polis merampas beberapa kenderaan seperti Honda Civic, Toyota Vellfire dan kereta mewah lain dianggarkan bernilai RM1 juta serta merampas pelbagai barangan pecah rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Arifai berkata, malah kenderaan yang dicuri itu turut ditukar nombor pendaftaran palsu di mana polis menemui mesin mencetak cukai jalan palsu dalam serbuan di sebuah rumah di Selayang.

"Mereka melakukan kegiatan ini pada waktu malam hingga awal pagi di mana siasatan mendapati penjenayah terbabit aktif di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

"Semakan mendapati lapan suspek memiliki rekod jenayah berkait pecah rumah dan curi kenderaan, manakala yang lain terbabit dalam kes dadah," katanya.

Menurutnya, pihak polis percaya penahanan mereka berjaya menyelesaikan 19 kes curi kenderaan.

Katanya, empat suspek direman seminggu bermula 24 Julai lalu, manakala lima lagi direman seminggu bermula semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 457 dan Seksyen 392 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Polis juga menasihatkan pemilik kenderaan supaya menggunakan kunci tambahan seperti pengunci stereng dan pengunci pedal," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 2:42pm
d