mutakhir

Dua pemilik premis ditahan ingkar PKPP

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA pemilik premis perniagaan di Kepala Batas, di Jitra, masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada pelanggan.

Kedua-duanya ditahan sekitar jam 11 pagi oleh pasukan pemantau Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam pemeriksaan yang diadakan hari ini.

Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Jitra untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, seorang daripadanya adalah pemilik kedai basikal berusia 78 tahun manakala seorang lagi pemilik kedai alat ganti motosikal.

Katanya, mereka melanggar SOP kerana tidak menyediakan alat pemeriksa suhu badan dan rekod butiran pelanggan atau My Sejahtera selain tidak mengamalkan penjarakan sosial.

"Mereka dikompaun RM1,000 di atas kesalahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kita mempunyai enam pasukan pemantau Covid-19 di daerah ini yang melaksanakan tugas dan pemantauan ketika ini menjelang sambutan Aidiladha Jumaat ini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di Jitra, hari ini.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 4:45pm
d