mutakhir

Disyaki dibunuh akibat gaduh

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEORANG lelaki dipercayai warga Nepal ditemukan mati dibunuh di kaki lima premis perniagaan di kawasan Indahpura, dekat Kulai semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tanpa dokumen pengenalan diri itu pada 4.20 pagi.

Katanya, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dihantar di lokasi bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan ke atas mayat mendapati ada kesan lebam di mata kanan, muka dan darah keluar dari mulut mangsa.

"Tiada sebarang objek disyaki senjata yang digunakan dalam kejadian ditemukan selain polis tidak menemukan dokumen pengenalan diri mangsa.

"Polis tidak menyangkal mungkin mangsa terbabit dalam pergaduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan itu, polis menahan tiga lelaki warga Nepal berusia 23 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan dalam serbuan di Jalan Seroja 4, Kawasan Perindustrian Indahpura Kulai dan Jalan Teratai, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 4:50pm
d