mutakhir

Kanak-kanak 4 tahun antara 42 Pati ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun antara 42 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Op Benteng oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tanjung Punggai, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, Pati itu ditahan dalam dua siri tangkapan oleh pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) pada jam 5.30 pagi dan 8.20 pagi.

Menurutnya, pasukan Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) yang bertanggungjawab menyelia kawasan berkenaan menerima maklumat perisikan daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi berhubung aktiviti kemasukan Pati di antara kawasan Punggai dan Batu Layar.

"Susulan itu, pasukan 7 Briged meningkatkan pemantauan dan pemerhatian di lokasi terbabit sebelum pasukan di Pos Pemerhati Kompeni A, 1 RRD mengesan sebuah bot mendarat di perairan Punggai pada jam 5.30 pagi dan sedang menurunkan Pati untuk masuk ke negara ini.

"Ketua Kompeni Mejar Mohd Hafizullah Mohd Rashidi kemudian menggerakkan Pasukan Reaksi Pantas (QRF) ke Kampung Gambut, Punggai dan menangkap 34 Pati," katanya.

Menurutnya, seramai 30 yang ditahan itu terdiri tangkapan basah iaitu Pati yang mahu masuk ke negara ini dan empat tangkapan kering iaitu yang mahu keluar dari Malaysia.

"Susulan tangkapan pertama, pasukan berkenaan melakukan pencarian dan penggeledahan di sekitar Punggai dan menahan lapan Pati yang mahu menyusup ke negara ini pada jam 8.20 pagi.

"Kesemua Pati dewasa yang ditahan berusia antara 23 hingga 40 tahun terdiri 32 lelaki dan sembilan wanita serta seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

"Selain itu, kita turut merampas pelbagai barangan termasuk 33 telefon pintar dan wang tunai 11 juta Rupiah (RM3,202) dengan jumlah keseluruhan rampasan RM36,000," katanya sambil memberitahu mereka akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 5:12pm
d