mutakhir

Projek Musang King di Gunung Inas diarahkan dihentikan

Oleh Safuri Kamarudin

KERAJAAN Kedah mengarahkan syarikat yang menjalankan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling supaya menghentikan segera aktiviti terbabit bagi mengelak berlakunya banjir kilat berterusan di Mukim Kupang.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tanah seluas 600 hektar di kawasan itu akan ditanam dengan tanaman penutup bumi dan pokok balak supaya kelestarian alam terjamin di masa depan.

"Sebelum ini setiap kali hujan lebat, banjir lumpur akan memasuki rumah penduduk di Mukim Kupang, kita peka dengan masalah rakyat jadi kerajaan negeri mengambil keputusan akan menanam semula kawasan yang sudah digondol dengan pokok balak.

"Kita akan mengarahkan syarikat terbabit supaya menghentikan segera projek itu dan ia akan diganti dengan tanaman asal," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeridi Pejabat Daerah Baling hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Tiak, Mukim Kupang, selepas rumah mereka dinaiki air.

Pada November tahun lalu, media juga pernah melaporkan lebih 100 penduduk di kawasan Bayu dan Kupang terjejas akibat banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek penanaman durian Musang King di Gunung Inas.

Aktiviti pembalakan dan penanaman Musang King di gunung berkenaan dipercayai menyebabkan sungai yang menjadi sumber air kira-kira 3,000 penduduk kampung berdekatan bertukar keruh sepenuhnya.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 6:10pm
d