mutakhir

Bersalah pandu melulu, lelaki dipenjara 6 tahun, denda RM10,000

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG nelayan dihukum penjara enam tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, kerana memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita dua tahun lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman itu terhadap Feli Boy Lokoy, 22, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Feli Boy didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh dibatalkan serta hilang kelayakan untuk memohon semula selama tempoh tiga tahun dari tarikh sabitan selain turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada perbicaraan 28 November 2019, Feli Boy mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Suriani Jakaria, 27, di Batu 22, Jalan Apas, dekat sini, pada jam 10.48 pagi, 20 Disember 2018.

Atas kecuaian itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat selepas mengambil kira kepentingan awam, selain kesan mendalam terhadap keluarga mangsa terutamanya dua anak mangsa yang kehilangan Ibu ketika usia masih kecil.

Peguam Azman Baginda bagaimanapun memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh adalah penanggung tunggal yang menyara keluarga dengan pendapatan kasar sebagai nelayan sebanyak RM1,000 sebulan selain isteri yang sedang mengandung anak pertama mereka.

Beliau turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan namun ditolak oleh mahkamah.

Disiarkan pada: July 29, 2020 @ 8:01pm
d