mutakhir

Curi barang kemas bekas teman wanita

Oleh Siti Rohana Idris

LELAKI ditahan polis di persimpangan lampu isyarat Jalan Gajah Mati, Kota Bharu selepas disyaki mencuri barang kemas milik bekas teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada malam Isnin lalu susulan laporan kehilangan barang kemas dengan nilai anggaran RM55,000 dari rumah mangsa di Kampung Kulim, Wakaf Bharu.

Menurutnya, anggotanya segera mengesan suspek sebelum mengekorinya bermula dari Wakaf Bharu sehingga ke lokasi tangkapan di Kota Bharu.

"Suspek ditahan kurang dari tempoh 10 jam laporan dibuat dan turut mendedahkan lokasi penyimpanan semua barang kemas di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu," katanya ketika sidang media di IPD Tumpat semalam.

Ab Rashid berkata, soal siasat yang dibuat terhadap suspek yang juga seorang penganggur itu merancang untuk keluar dari negeri itu dan menuju ke Johor Bahru.

Katanya, suspek menyelinap masuk ke rumah bekas teman wanitanya yang tidak berkunci ketika mangsa tiada di rumah sebelum mengambil barang kemas berkenaan.

"Hasil ujian saringan mendapati suspek positif methampethamine dan memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah.

"Kita sedang mengenal pasti motif sebenar tindakan suspek yang mencuri barang kemas terbabit.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam (kelmarin) hingga 31 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 12:13am
d