mutakhir

Maahad Tahfiz terbakar, 115 pelajar selamat [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA blok bangunan Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota, di Ipoh terbakar dalam kebakaran tengah malam tadi.

Bagaimanapun, seramai 115 pelajar lelaki di pusat tahfiz itu sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Zaiful Affendi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.52 tengah malam sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Parit, BBP Teluk Intan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Air Tawar dengan keseluruhan anggota seramai 31 orang.

"Kebakaran membabitkan sebuah bangunan dua tingkat yang tingkat bawah dijadikan tempat penyimpanan barang masakan dan bahagian atas tempat penyimpanan barang pelajar seperti pakaian yang musnah terbakar 80 peratus.

"Blok kedua iaitu dewan terbakar 10 peratus di bahagian bumbung manakala sebuah lagi blok iaitu bilik kuliah tiga tingkat pula terjejas lima peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kebakaran itu disedari seorang pelajar yang melihat kepulan asap di blok pertama yang terbakar sebelum segera memaklumkan kepada guru dan menghubungi bomba.

"Seramai 115 pelajar lelaki di maahad itu mengambil tindakan pantas dengan segera keluar dan berkumpul di kawasan lapang.

"Tindakan itu berjaya menyelamatkan mereka kerana jarak asrama mereka hanya kira-kira enam meter dari stor yang marak terbakar.

"Maahad takfiz berkenaan juga adalah anak angkat BBP Seri Iskandar dan hampir setiap bulan kami akan datang membuat lawatan dan memberikan ceramah serta latihan kebakaran," katanya.

Katanya, kejadian juga tidak membabitkan sebarang kecederaan dan bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 1.41 pagi sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 3.25 pagi.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 9:44am
d