mutakhir

Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh ke Sungkai sesak [METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin

ALIRAN trafik Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA dekat Trolak menuju ke Sungkai sesak teruk kira-kira tujuh kilometer, pada 9.30 pagi hari ini.

Ia dipercayai berpunca akibat tindakan pengguna lebuh raya yang melencong keluar dari plaza tol bagi mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dari Slim River-Sungkai.

Tinjauan mendapati pengguna lebuh raya menggunakan susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, Plaza Tol Behrang dan Slim River dengan menggunakan jalan persekutuan sebagai alternatif mengelak kesesakan di lebuh raya.

Manakala di susur keluar Plaza Tol Slim River ada dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim mengawal lalu lintas bagi mengelak berlaku kesesakan dari semua arah jalan terbabit.

Kesesakan di Jalan Persekutuan itu berlaku sejak petang semalam sehingga tengah malam tadi berikutan tiada larangan rentas negeri yang dikeluarkan kerajaan untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman.

Rata-rata penduduk menyifatkan pertambahan kenderaan di Jalan Persekutuan itu memang luar biasa jika dibandingkan Aidiladha tahun lalu.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 11:09am
d