mutakhir

AADK Selangor tempat anggota di terminal bas

Oleh BERNAMA

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor menempatkan anggota penguatkuasanya di terminal bas sempena cuti perayaan Aidiladha untuk memastikan pemandu dan penumpang bas ekspres bebas dadah.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata, menerusi langkah itu, setiap pemandu dan penumpang akan diperiksa dalam operasi empat hari iaitu semalam, hari ini dan pada 4 serta 5 Ogos.

"Seramai 48 anggota AADK dan 180 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri terbabit dalam operasi 'Op Terminal' ini.

"Anggota AADK dan JPJ akan sentiasa berada di terminal bas Seksyen 17 di Shah Alam, Kajang dan Klang Sentral," katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi itu di Shah Alam, malam tadi.

Nazira berkata, setakat semalam, seramai 54 pemandu sudah diperiksa dan semuanya negatif ujian dadah.

Katanya, menerusi operasi itu beliau turut berharap kemalangan membabitkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pemandu dapat dibendung.

"Pemeriksaan bas turut dilaksanakan oleh JPJ dan setakat ini keadaan memuaskan," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 2:00pm
d