mutakhir

Terima kasih halang wanita 'wristband' masuk bank

Oleh Yusmizal Dolah Aling

"TERIMA kasih kepada warga Butterworth, Pulau Pinang yang berwaspada dan peka dalam mengenal pasti individu dengan 'wristband' kuarantin yang cuba berbaris di sebuah bank baru-baru ini," kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengawal keselamatan bank terbabit kerana pantas mengambil tindakan untuk menghalang individu itu daripada memasuki bank.

Katanya, polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab seperti itu atau yang masih tidak menjalani ujian saringan kali kedua.

"Mereka akan ditahan dan didakwa di mahkamah," katanya.

Semalam, tular kelibat seorang wanita yang memakai gelang berwarna merah jambu atau 'wristband' di luar pekarangan bank dekat Jalan Ong Yi How di Butterworth.

Bagaimanapun, dia disahkan sudah tamat menjalani perintah kuarantin wajib semalam, tetapi tidak membuang 'wristband' sebelum ke bank berkenaan sehingga mencetuskan ketakutan orang awam.

Ismail berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Orang ramai diminta untuk melaporkan kepada polis sekiranya terdapat individu dengan 'wristband' kuarantin keluar di tempat-tempat awam," katanya.

Berita berkaitan

Wanita pakai 'wristband' sudah tamat PUS

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 2:54pm
d