mutakhir

Polis Selangor kesan 88 individu gagal jalani saringan kedua

Oleh Norzamira Che Noh

POLIS Selangor sedang mengesan 88 individu yang gagal hadir membuat saringan kedua Covid-19 seperti diarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, 88 individu terbabit sepatutnya hadir menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 dari tarikh saringan awal.

"Kegagalan individu berkenaan menggusarkan masyarakat dan boleh menularkan penyakit itu jika ujian saringan awal mereka didapati positif.

"JSJ Selangor menubuhkan Pasukan Khas untuk mengesan penama-penama ini dan sekiranya cukup keterangan (bukti), tindakan akan diambil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Akta 342.

Katanya, jumlah penama berkenaan akan sentiasa berubah dan akan dikemaskini KKM dari semasa ke semasa.

"Saya desak semua penama-penama yang masih tidak membuat saringan kedua supaya hadir ke klinik kesihatan untuk segera membuat saringan kedua.

"Kegagalan melakukan saringan kedua, (mereka) berhadapan dengan tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Fadzil berkata sejumlah 3,267 kompaun dikeluarkan Polis Selangor sejak April lalu atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Katanya, daripada jumlah itu, 1,639 daripadanya sudah dibayar.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 3:04pm
d