mutakhir

Polis pantau pematuhan SOP sempena Aidiladha [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan anggota bagi melakukan pemantauan di masjid, surau dan kawasan penyembelihan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seperti diumumkan sebelum ini, jamuan makan di rumah sempena Aidiladha dihadkan kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Katanya, penempatan anggota polis di kampung dan pemantauan di rumah dan tempat sembelihan adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri, sebelum ini.

"Bagi yang memandu pulang ke kampung halaman, patuhi arahan pihak berkuasa dan berhati-hati ketika memandu. Jika singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), pastikan mematuhi SOP ditetapkan.

"Bagi yang mengambil pengangkutan awam pula, ikuti SOP yang ditetapkan dan pakai pelitup muka.

"Apabila berada di kampung terutama di tempat awam yang sesak, pastikan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka dijadikan amalan," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, setiap individu, keluarga dan masyarakat adalah petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dalam normal baharu ini.

Katanya, pandemik itu masih belum berakhir dan setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kesihatan sentiasa terjaga.

"Terus amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat terutama apabila berada di kampung halaman," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 3:12pm
d