mutakhir

Berlari selamatkan rakan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

"SAYA nampak kepulan asap sebaik buka pintu stor dan terus berlari ke asrama meminta rakan lain segera menyelamatkan diri," kata Mohd Haziq Abdul Kudus, 18, pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota.

Dia bercerita mengenai kebakaran yang berlaku tengah malam hari ini yang menyebabkan tiga bangunan maahad itu terjejas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Mohd Haziq, dia menyedari tingkat bawah bangunan stor itu terbakar pada 12.30 tengah malam ketika mahu mengambil barang untuk memasak makanan sahur.

"Saya terkejut melihat asap berkepul-kepul dan tanpa berlengah terus beritahu ustaz dan menjerit 'ada api' serta meminta pelajar lain menyelamatkan diri. Ketika itu ada yang sudah tidur dan ada yang masih berjaga.

"Sementara menunggu bantuan, saya bersama beberapa rakan lain cuba memadam api seperti dilatih bomba sebelum ini tetapi tidak berjaya kerana api marak cepat," katanya ketika ditemui di maahad berkenaan, hari ini.

Mohd Haziq yang sudah menghafaz 24 juzuk al-Quran berkata, ketika api semakin marak, dia hanya memikirkan keselamatan semua warga maahad itu serta mahu memastikan mereka semua berkumpul di kawasan selamat.

"Sedih juga melihat barang masakan dan semua perkakas lain musnah tetapi saya anggap apa yang berlaku ini adalah dugaan untuk kami sempena menyambut Aidiladha esok," katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhamad Muzakir Ehsan Zulkifli, 15, berkata, dia sedang tidur ketika kebakaran berlaku dan hanya terjaga apabila mendengar jeritan supaya menyelamatkan diri.

"Sebaik keluar saya lihat api sudah marak dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Hanya tinggal baju yang saya pakai hari ini saja.

"Suasana ketika itu agak kelam kabut, namun bersyukur kami semua selamat," katanya.

Sementara itu, pengetua maahad, Akhbar Ali Mydin Ahmad Shah berkata, kejadian menyebabkan bangunan dua tingkat yang menyimpan barangan musnah, selain menjejaskan dua blok lain.

"Tetapi ada pelajar yang tinggal sehelai sepinggang (susulan bilik penyimpanan keperluan mereka terbakar) dan kami akan benarkan pelajar pulang ke rumah mereka.

"Kami juga mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk membina dan membaik pulih bangunan yang terjejas ini," katanya yang bersyukur tiada siapa cedera dan masjid dijadikan penempatan sementara.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Islam 08086020107395 atas nama maahad itu.

Berita berkaitan:

  • Maahad terbakar dapat sumbangan awal RM50,000
  • Maahad Tahfiz terbakar, 115 pelajar selamat [METROTV]
  • Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 3:23pm
    d