mutakhir

Kebakaran maahad thafiz tiada unsur khianat

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA blok bangunan Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota, yang terbakar, hari ini tidak membabitkan unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang unsur khianat.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut akan dijalankan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Zaiful Affendi Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari tingkat bawah bilik stor.

"Kebakaran menyebabkan bangunan dua tingkat yang dijadikan stor itu musnah terbakar 80 peratus dan turut menjejaskan dua blok lain.

"Forensik Bomba menjalankan siasatan lanjut di lokasi bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berlaku dan kerugiaan," katanya.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, kebakaran turut menyebabkan blok yang menempatkan dewan terbakar 10 peratus di bumbung, manakala bilik kuliah tiga tingkat pula terjejas lima peratus.

Bagaimanapun, seramai 115 pelajar lelaki di pusat tahfiz itu sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

Maahad Tahfiz terbakar, 115 pelajar selamat [METROTV]

Maahad terbakar dapat sumbangan awal RM50,000

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 5:32pm
d