mutakhir

Polis tumpaskan kegiatan jual senapang, pistol 'airsoft'

Oleh Norzamira Che Noh

PENAHANAN seorang lelaki berkaitan kes dadah di Klang Utara pada Februari lalu membongkar kegiatan penjualan senapang dan pistol angin (airsoft) yang diubahsuai seperti senjata sebenar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata penjualan senapang dan pistol angin itu dijalankan secara meluas menerusi aplikasi Whatsapp.

Katanya, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan sepasang suami isteri bersama enam pucuk pistol dan dua laras senapang angin bersama peluru hidup.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati senjata airsoft iaitu pistol dan senapang berkenaan diubahsuai seterusnya membolehkannya menggunakan peluru hidup.

"Senjata yang siap dijual ke beberapa negeri dalam Malaysia dengan harga RM5,000 untuk pistol dan RM10,000 untuk senapang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, pihak JSJ Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan pembeli dan individu yang berkaitan dengan kes ini.

Katanya, hasil operasi yang dijalankan berjaya menangkap 43 orang individu iaitu 39 lelaki dan empat perempuan berusia 18 hingga 57 tahun di seluruh negara.

"Mengikut pecahan tangkapan, 18 individu ditahan dengan 16 daripada sudah dituduh di Mahkamah manakala dua lagi kertas siasatan masih dalam tindakan

"Polis turut merampas satu senjata api asli, dua senjata diubahsuai, 57 pistol airsoft, 31 senapang airsoft dan 1,355 butir peluru hidup," katanya.

Fadzil berkata, sebanyak tiga bom tangan dan 10 bom C4 juga dirampas daripada pembeli dari Johor yang mendakwa memilikinya sebagai hobi.

Menurutnya, bekalan senjata berkenaan serta alat ganti diperoleh melalui orang tengah dari negara jiran manakala peluru hidup yang dirampas diperoleh dari dalam negara.

Katanya, kesemua tangkapan dan pertuduhan ke atas individu-individu mengikut Seksyen 8(a); Seksyen 36; Seksyen 38 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 5:45pm
d