mutakhir

Pakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan [VIDEO]

Oleh Suraya Roslan

KANAK-KANAK berusia kurang dua tahun antara golongan tidak diwajibkan memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan untuk menangani penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain itu, mereka yang sukar bernafas, individu tidak sedarkan diri atau mereka yang tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan juga tidak diwajibkan memakainya.

"Pelitup muka adalah satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus termasuk Covid-19.

"Ia boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

"Bagaimanapun, penggunaan pelitup muka harus diamalkan bersama dengan penjagaan kebersihan tangan dengan kerap, penjarakan fizikal yang selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan iaitu pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

"Pelitup muka perubatan seperti '3 ply surgical mask' kebiasaannya digunakan petugas kesihatan, namun ia juga disarankan bagi orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan.

"Di kawasan berlaku jangkitan Covid-19 dan penjarakan fizikal sukar diamalkan, maka pemakaian '3 ply surgical mask' disyorkan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Katanya, penggunaan pelitup muka bukan perubatan disyorkan untuk mereka yang tidak bergejala, namun berada di tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti dalam pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak.

"Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis pelitup muka bukan perubatan di pasaran dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan yang terdiri lapisan paling dalam yang hidrofilik iaitu bersifat menyerap air.

"Selain itu, lapisan paling luar diperbuat daripada bahan hidrofobik iaitu bersifat menghindar penyerapan air yang boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembusi masuk ke hidung dan mulut pemakai.

"Manakala, lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair," katanya.

Katanya, terdapat pelbagai pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran, tetapi mungkin tidak menepati ciri-ciri disarankan WHO.

"Bagaimanapun, pelitup muka berkenaan boleh dipakai untuk kegunaan orang awam, tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain," katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 5:52pm
d