mutakhir

Tiada cadangan tutup sekolah, tadika di Kedah [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyarankan penutupan sekolah dan tadika di Kedah walaupun terdapat satu kluster yang dikesan di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan wabak itu dengan melakukan pembersihan di kawasan terjejas.

"Memang ada kluster di Kedah, tetapi kita tidak mencadangkan penutupan sekolah atau tadika.

"Apa yang dilakukan adalah langkah pembersihan di kawasan jangkitan, dan kita sudah melakukan yang terbaik di Kedah," katanya ketika sidang media mengenai Covid-19 di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, sehingga 12 tengah hari ini, seramai 143 orang disaring dengan enam daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Seramai 67 daripada mereka dilaporkan negatif, manakala 70 lagi masih menunggu keputusan dan diletakkan di bawah pengawasan di rumah sehingga mendapat keputusan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengesahkan terdapat dua kes kanak-kanak dijangkiti pandemik berkenaan di Sabah.

"Seorang daripada mereka tidak bersekolah dan dikesan selepas demam. Hasil ujian saringan mendapati kanak-kanak itu positif Covid-19.

"Seorang lagi mengalami komplikasi kebakaran dan dihantar ke hospital, dan hasil ujian juga mendapati dia positif virus itu," katanya.

Katanya, ujian saringan sudah dilakukan di sekolah berkenaan dan setakat hari ini tiada murid atau guru dijangkiti virus itu.

"Tiada kluster membabitkan sekolah berkenaan dan dua kanak-kanak itu kini dirawat dan diasingkan di hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 6:05pm
    d