mutakhir

YWP nafi berlaku pemusnahan Taman Awam Bukit Kiara

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) menafikan dakwaan berlaku kerja pemusnahan Taman Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kerja yang berlangsung ketika ini adalah usaha penjenamaan semula taman berkenaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL ketika ini sedang menguruskan proses penandaan sempadan tanah bagi tujuan memudahkan kerja menaiktaraf landskap serta kemudahan taman dalam lingkungan sempadan yang nyata.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP Zaizalnizam Zainum berkata, pihaknya membuat semakan awal terhadap dakwaan itu dan mendapati taman awam itu masih bebas digunakan orang awam tanpa sebarang gangguan.

"YWP adalah pemilik kepada tanah no. hakmilik H.S.D 119599 PT 9244 yang terletak bersebelahan Taman Awam Bukit Kiara.

"Kami juga sudah memastikan bahawa persempadanan antara tanah milik YWP dan Taman Awam Bukit Kiara itu dibuat berdasarkan kepada 'Endorsed Survey Plan' yang disahkan oleh juru ukur bertauliah.

"Tiada kerja-kerja pemusnahan taman berlaku seperti dakwaan sesetengah pihak dan tiada kerja pembinaan akan dimulakan di tanah YWP sehingga selesai kes berkaitan di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, YWP juga akan mencantikkan landskap di bahagian tanah YWP dan juga tanah bersambung dengan Taman Awam Bukit Kiara itu.

"Kami juga selama ini membenarkan orang awam mengakses taman awam itu melalui tanah YWP. Ia sebagai sumbangan YWP kepada rakyat di samping usaha meningkatkan penggunaan Taman Awam Bukit Kiara," katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa hari ini membuat tinjauan di taman itu selepas dakwaan berlaku pemusnahan hutan dan pembinaan yang tular di media sosial.

Disiarkan pada: July 30, 2020 @ 10:46pm
d