mutakhir

Kemelut politik Sabah: UPKO pecat ADUN Paginatan

Oleh Rafiqah Dahali

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memecat Naib Presiden parti, Datuk Abidin Madingkir.

Dalam satu kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini, UPKO menyatakan keputusan memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan itu dibuat selepas mesyuarat diadakan oleh Ahli Majlis Tertinggi parti itu, semalam.

"Keputusan itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi UPKO yang bermesyuarat semalam selepas mendapati Abidin terbabit bersama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk cuba mengambil alih kerajaan Sabah," kata kenyataan itu.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Selain Abidin dari UPKO, antara ADUN yang terbabit menyokong Musa adalah ADUN Inanam, Kenny Chua yang turut dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam serta seorang ADUN dilantik dari DAP, Loh Ee Eng Ronnie.

Dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang turut menyokong Musa adalah Datuk Hamisah Samad (Tanjung Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Muis Picho (Sebatik).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 12:48pm
d