mutakhir

Kluster Sivagangga: Belum ke tahap kenakan PKPD

Oleh Noorazura Abdul Rahman

TIADA pertambahan kes positif Covid-19 bagi kluster Sivagangga setakat semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Beliau berkata, keadaan terkawal dan ujian saringan yang dilakukan ke atas kontak rapat dan penduduk sehingga kini tidak mengesan penularan wabak berkenaan.

"Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri mengenai Covid-19 Kedah, semalam difahamkan tiada penambahan kes positif dalam kluster Sivagangga, namun kita tetap berhati-hati.

"Bagaimanapun, kita tidaklah sehingga perlu diadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Terima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama dan datang ke klinik kesihatan untuk melakukan ujian calitan," katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Mohd Hayati berkata, penduduk perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), manakala sebarang tindakan yang akan diambil selepas ini bergantung kepada situasi semasa.

Beliau juga menasihati mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan kluster itu dan masih belum membuat ujian saringan, supaya tampil berbuat demikian.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan wujud kluster Sivagangga di Kedah yang membabitkan pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula dilapor mengarahkan pemantauan terhadap pematuhan SOP mencegah Covid-19 dipertingkatkan di seluruh negeri, khususnya Kubang Pasu yang menjadi lokasi kluster berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 2:35pm
    d