mutakhir

PRU15: Zuraida sedia 'bertempur' di Ampang

Oleh BERNAMA

BEKAS Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sedia menyahut cabaran daripada bekas partinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Bebas itu, yang kini menggunakan platform Bersatu, juga tidak gentar dengan cabaran PKR untuk merampas semula kerusi Parlimen itu serta mengalu-alukan calon bekas partinya untuk bersaing secara sihat merebut kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR pada PRU14 lalu.

"Saya cukup berbangga apabila PKR memilih Ampang untuk mengadakan program mereka. Selama ini mereka tidur dan sekarang sudah bangkit.

"Alhamdulillah, kita profesional... jadi kita akan bertanding dan berdepan secara sihat. Insya-Allah, saya sangat mengalu-alukan kedatangan mereka," katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Program Ibadah Korban oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Hulu Langat, Kuala Lumpur, hari ini.

Program itu memberi faedah kepada 6,000 penerima menerusi agihan daging membabitkan 60 ekor lembu.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru-baru ini bahawa PKR akan mengambil alih kerusi Parlimen itu.

Selain kerusi Parlimen Ampang, PKR juga berhasrat mengambil balik kerusi Parlimen Gombak yang diwakili bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, satu undang-undang antara lain untuk menangani isu diskriminasi perkauman dalam pasaran hartanah akan dibentangkan di Parlimen, awal tahun depan.

"Undang-undang yang dikenali sebagai Akta Sewaan Kediaman (RTA) itu masih digubal dan dijangka selesai akhir tahun ini," katanya.

Januari lalu, Zuraida dilaporkan berkata, RTA akan membantu isu diskriminasi kaum susulan kejadian tuan rumah enggan menerima penyewa berlainan etnik.

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 3:30pm
d