mutakhir

ATM hayati syiar Islam, semangat berkorban

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Program Ibadah Korban dan Akikah di Masjid Khalid Al-Walid di Kementerian Pertahanan (Kementah) di Kuala Lumpur hari ini.

Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam dalam kenyataan hari ini berkata, program berkenaan diraikan dalam suasana normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Solat sunat Aidiladha dipimpin imam besar masjid berkenaan dan khutbah solat sunat itu disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat.

"Pada tahun ini, sebanyak 10 ekor lembu disembelih namun tidak dilaksanakan di pekarangan masjid bagi mematuhi peraturan ditetapkan.

"Proses sembelihan dilakukan di HS Nada Ternak Sdn Bhd di Sungai Buloh, sebelum daging korban dibawa ke masjid untuk proses melapah dan pengagihan.

"Antara matlamat utama penganjuran program adalah bertujuan menyemarakkan semangat berkorban dalam menghayati syiar Islam selain melahirkan kesyukuran atas pemberian dan nikmat dikurniakan Allah SWT dalam apa jua situasi lebih-lebih lagi ketika negara berdepan pandemik Covid-19," kata kenyataan itu.

Menurutnya, penyerahan daging korban yang dilaksanakan selepas solat Jumaat disempurnakan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir Timbalan Menteri Keselamatan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz.

Disiarkan pada: July 31, 2020 @ 9:58pm
d