mutakhir

Masih ada ingkar pakai pelitup muka

Oleh Mohamed Farid Noh

MASIH terdapat segelintir kalangan masyarakat di Johor Bahru tidak mengambil endah langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam selain lokasi sesak, mulai hari ini.

Tinjauan dilakukan di sekitar pusat bandar termasuk di Larkin dan Tampoi, Johor Bahru mendapati walaupun kebanyakannya mematuhi arahan itu masih ada yang langsung tidak mempedulikannya dengan tidak memakai pelitup muka.

Kebanyakan individu yang dilihat masih ingkar dengan arahan itu berada di deretan rumah kedai yang terdapat kedai runcit, serbaneka selain kedai telekomunikasi.

Lebih pelik, ada segelintir yang dilihat memakai pelitup muka dari kenderaan mereka namun sebaliknya meletakannya di bawah dagu atau menanggalkanya ketika memasuki premis kedai runcit, serbaneka dan kedai telekomunikasi.

Ketika ditegur pekerja kedai mengapa meletakkan pelitup muka dipakai di bawah dagu atau menanggalkannya ketika memasuki premis niaga manakala ada yang dilihat memberi alasan sukar bercakap dan berkomunikasi apabila memakainya.

Terdapat juga pekerja warga asing yang dilihat langsung tidak memakai sebarang pelitup muka namun berlegar-legar di kawasan awam.

Pekerja kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Roslan, 36, berkata, beliau sudah beberapa kali menegur pelanggan yang memasuki kedainya supaya memakai pelitup muka, hari ini.

Namun katanya, ada pelanggan memberi alasan hanya singgah sekejap membeli barangan keperluan selain menyatakan pelitup muka mereka tertinggal di dalam kenderaan.

"Tauke pun ada mengingatkan yang tidak memakai pelitup muka mereka dan kedai boleh disaman jika penguatkuasa membuat operasi.

"Kami pun serba-salah kerana ada juga pelanggan yang marah dan kata akan pergi ke tempat lain jika mereka tidak dibenarkan memasuki premis, " katanya ketika ditemui.

Minggu lalu, media melaporkan mulai hari ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Pekerja swasta, Norlizah Jusoh,43, berkata pihak berkuasa juga diharap meningkatkan pemantauan di kawasan umum terutama di kawasan rumah kedai yang menjadi tumpuan.

"Pengunjung yang ke restoran dan pusat membeli belah lebih berdisiplin kerana memakai pelitup muka kerana mereka tidak dibenarkan masuk jika tidak memakainya.

"Di kawasan rumah kedai selalunya terlepas pandang dengan ramai membeli alasan hanya singgah sebentar namun risikonya jangkitan tetap sama malah lebih membimbangkan ada pekerja warga asing yang dilihat tidak pun memakai pelitup muka di kawasan awam, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 2:18pm
    d