mutakhir

Kena serbu leka layan mahjong

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KESERONOKAN 21 individu bermain judi mahjong di dalam sebuah rumah di Taman Paramount, Petaling Jaya terbantut selepas diserbu polis, semalam.

Dalam serbuan 4 petang itu, seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis bersama 15 lelaki dan lima wanita berusia 35 hingga 77 tahun ditahan ketika leka bermain judi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan mendapati mereka bermain judi mahjong dengan mempertaruhkan beberapa keping wang dan cip yang boleh ditukar kepada wang tunai.

Menurutnya, pihak polis juga menemui pelbagai barang yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian (mahjong).

"Kesemua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Mereka turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis juga merampas empat keping kertas mahjong, empat set batu mahjong (406 biji), lapan dadu, 215 cip pelbagai warna dan wang tunai RM3,413.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 3:18pm
d