mutakhir

Biar pucuk pimpinan parti pilih...

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PEMANGKU Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz mengesahkan namanya disenarai pendek sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Mohd Zaidi berkata, walaupun namanya disebut-sebut sebagai calon, namun dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih siapa yang terbaik bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK berkenaan.

"Saya dimaklumkan nama saya tersenarai. Terserah pucuk pimpinan untuk tentukan siapa. Buat masa ini, kita sedang mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihan raya ini.

"Keutamaan ketika ini ialah fokus untuk mengekalkan kerusi milik BN dan meneruskan agenda dibawa Allahyarham Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, sebelum ini," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dipetik berkata, Umno akan memutuskan calon PRK Dun berkenaan, esok.

Katanya, BN Perak sudah mengemukakan senarai pendek nama calon kepada Ibu Pejabat Umno, tiga hari lalu dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan nama calon tiga hari sebelum hari penamaan calon pada 15 Ogos ini.

Selain Mohd Zaidi, individu yang turut disebut-sebut tersenarai ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Malim Mohamad Amin Othman yang mengemudi sayap parti itu sejak tiga penggal lalu.

Seorang lagi ialah Ketua Puteri Bahagian Siti Zubaidah Abdul Rahim yang konsisten menjalankan kerja-kerja parti ketika Umno menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

PRK Dun Slim diadakan susulan kematian Mohd Khushairi pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 4:21pm
d