mutakhir

Tuntutan RM10 juta: Haniza bersedia dengan peguam

Oleh Balqis Jazimah Zahari

TINDAKAN PKR menuntut ganti rugi RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Mohamed Talha.

"Setakat ini tidak ada (rasa bimbang), kerana saya nampak tindakan berkenaan seperti 'ultra vires,' bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana individu warga negara Malaysia untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang berdaftar dengan pendaftar pertubuhan.

"Jadi, kalau sekiranya saya menganggotai pertubuhan selain daripada yang Keadilan itu tidak menyalahi dari segi Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media selepas Majlis Korban Perisma Perak bersama Nation of Women Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Haniza berkata, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang paling tinggi yang mengatasi perlembagaan parti atau pun mana-mana pertubuhan.

"Jadi itu yang saya rasa agak yakin bahawa dakwaan itu tidak boleh dikenakan terhadap 20 orang termasuk saya, apa-apapun kita akan menunggu surat (saman) daripada parti untuk apa tindakan yang seterusnya," katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sesiapa daripada 20 yang berada dalam senarai itu menerima surat saman terbabit.

Sebelum ini NSTP melaporkan, PKR menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Selain Azmin dan Zuraida, MP dan ADUN yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Turut berhadapan tuntutan itu termasuklah Ali Biju (Saratok); Jonathan Yasin (Ranau); Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Afif Bahardin (Seberang Jaya); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 4:53pm
d