mutakhir

Sanitasi di kawasan DUN Slim

Oleh Balqis Jazimah Zahari

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menggerakkan anggota bagi melaksanakan sanitasi di seluruh kawasan bakal berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada minggu hadapan.

Pengarah JBPM Perak Azmi Osman berkata, ia adalah langkah awal yang dilaksanakan pihaknya untuk menjaga keselamatan semua daripada risiko penularan pandemik Covid-19.

"Kita yakin apabila berlakunya PRK DUN Slim nanti, ramai yang akan turun untuk melaksanakan peranan masing-masing.

"Jadi kita akan melaksanakan sanitasi sambil memberi nasihat kepada pihak hotel, rumah inap, premis, gerai makanan makanan dan semua tempat awam," katanya.

Beliau berkata, anggota akan digerakkan bagi melaksanakan aktiviti sanitasi di sekitar kawasan Tanjung Malim, Slim River dan Bidor.

PRK DUN Slim akan diadakan 29 Ogos berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai hari penamaan calon dan diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan pengundian sebenar pada 29 Ogos.

Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 5:07pm
d