mutakhir

1 kes Kluster Bukit Tiram direkodkan di Selangor

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KES positif Covid-19 pertama daripada Kluster Bukit Tiram, Johor direkodkan di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif yang dilaporkan pada hari ini iaitu kes ke-8,977 adalah kontak rapat kepada kes positif ke-8,893 daripada kluster berkenaan.

"Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

"Kes positif ke-8,893 didapati menginap di rumah kes ke-8,977 pada 16 Julai sehingga 19 Julai di Selangor.

"Justeru, individu berkenaan dikenal pasti dan diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, ujian saringan Covid-19 kali kedua dijalankan apabila kes ke-8,977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak.

Katanya, individu terbabit dikesan positif dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Dr Noor Hisham berkata, seramai 135 orang disaring dari Kluster Bukit Tiram sehingga hari ini.

"Daripada saringan itu, 10 kes dikesan positif, 124 negatif dan satu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 1, 2020 @ 5:37pm
    d