mutakhir

48 tahun terlantar kerana penyakit misteri

Oleh Ramli Ibrahim

BERAT ujian Tuhan ditanggung wanita warga emas ini apabila 48 tahun derita terlantar kerana penyakit misteri di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, dekat Gua Musang.

Bagaimanapun, Zainab Awang Hamat, 81, yang boleh bercakap walaupun lumpuh seluruh badantetap reda dengan apa yang ditanggungnya itu.

Katanya, lebih separuh umur hidupnya dengan terlantar sejak berumur 33 tahun lagi apabila tiba-tiba rebah dalam rumah lalu tidak boleh berjalan.

Dia kini bergantung kepada bantuan dua anak lelaki yang tinggal bersama samaada disuap makanan dan diusung ke bilik air untuk mandi.

"Kalau nak ikutkan, mak cik pernah terfikir tidak mahu meneruskan hidup apabila tidak tahan sakit begitu lama, tetapi mak cik terima itu semua dianggap takdir Tuhan.

"Dah habis usaha untuk mengubatinya termasuk rawatan di hospital dan lebih 50 bomoh tetapi tidak juga sembuh sampai sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Anaknya, Zainudin Ali, 57, pula berkata, emaknya terlantar kerana sakit misteri ketika dia berumur sembilan tahun lagi dan ketika itu bapa masih ada.

Katanya, bapa, Ali Yusof meninggal dunia lapan tahun lalu ketika berumur 68 tahun dan penjagaan ibu diuruskan dua beradik bersama.

"Saya juga bekerja kampung dan tidak tinggal jauh walaupun isteri sendiri, Siti Sepol Mat Noh, 49, berada di sisi emak sepanjang masa.

"Apabila saya ada tugas lain di luar kampung bersama isteri, abang saya Hashim Ali, 61, ambil alih menjaga emak pula," katanya.

Katanya, perbelanjaan makan, minum dan membeli lampin pakai buang untuk emaknya menggunakkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Sebelum itu, Zainab menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof untuk menghulur sumbangan.

Keterangan gambar:

Zainab terima ujian Tuhan 48 tahun sakit terlantar tanpa dapat dikesan penyakitnya.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 11:22am
d