mutakhir

Syukur laksana hajat Allahyarham Mohd Khusairi [METROTV]

Oleh Rosman Shamsudin

"SYUKUR kerana dapat tunaikan hajat dan sembelih sendiri lima kembu korban yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib," kata Setiausaha Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Shukeriradzi Md Said, 52.

Shukeriradzi berkata lima lembu korban daripada UMNO bahagian Tanjung Malim diserahkan kepada beliau di pejabat ADUN Slim oleh Allahyarham sendiri sehari sebelum beliau meninggal dunia di Hospital Bentong pada 15 Julai lalu

Katanya, beliau terasa sedih mengenangkan saat-saat pertemuan terakhir bersama Allahyarham apabila terpandang lima lembu korban di perkarangan masjid terbabit.

"Saya berasa lega dan bersyukur kerana dapat menunaikan hajat Allahyarham Datuk Mohd Khusairi hari ini dan menyembelih sendiri kelima-lima ekor lembu korban itu.

"Saya tidak dapat tidur lena setiap malam, selagi saya tidak dapat menunaikan hajat Allahyarham dan kini saya berasa lega serta mendoakan segala kebaikan Allahyarham mendapat ganjaran pahala dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya ketika ditemui dekat Slim River, hari ini.

Katanya, pemergian Allahyarham masih lagi terasa kehilangan kerana Allahyarham memang seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan selalu turun padang dalam program kemasyarakatan bertemu penduduk setempat.

Tahun ini, masjid terbabit mencatat jumlah lembu korban tertinggi dalam sejarah kampung terbabit

Sebanyak 18 lembu dikorbankan iaitu sumbangan daripada UMNO dan Pas bahagian Tanjung Malim serta ahli khariah masjid sendiri.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 12:11pm
d