mutakhir

APMM tahan bot nelayan langgar syarat lesen

Oleh Juwan Riduan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 1.3 batu nautika barat muara Sungai Tuaran selepas didapati beroperasi melanggar syarat lesen, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, bot nelayan berkenaan dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan terbabit

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera menerima maklumat di sekitar perairan Tuaran.

Menurutnya, bot peronda kemudiannya digerakkan ke lokasi berkenaan dan mendapati sebuah bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak yang melanggar syarat lesen.

"Bot nelayan berkenaan kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga Indonesia berusia 24 hingga 48 tahun serta memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) kerana disyaki melanggar syarat lesen," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rosli berkata, bot dan semua individu berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti APMM, Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua mereka juga diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid -19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan bebas daripada virus berkenaan.

"Langkah -langkah keselamatan dan SOP dalam mengendalikan OKT terus dipatuhi oleh semua anggota tanpa pengecualian," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli turut menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri semasa melakukan aktiviti di laut dengan memakai jaket keselamatan terutamanya di musim cuaca buruk dan keadaan laut yang tidak menentu.

Sementara itu, beliau juga mohon kerjasama kepada semua pengusaha pusat peranginan untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada pihak APMM ditalian Pusat Operasi Maritim 088- 387774 dan talian MERS 999," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2020 @ 10:16pm
d