mutakhir

Beli alat, ukur kandungan alkohol pelanggan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

PINDAAN Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) baru dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu, namun sudah ada pengusaha kelab malam membeli alat pengukur kandungan alkohol untuk digunakan ke atas pelanggan mereka, kelak.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan itu membuktikan sudah timbul kesedaran dalam kalangan pengusaha premis berkenaan walaupun kerajaan belum lagi mewajibkan langkah terbabit.

Dr Wee (BN-Ayer Hitam) berkata, pihaknya ketika ini hanya meletakkan syarat terhadap pihak yang terbabit dalam penjualan atau minum arak supaya saling menasihati satu sama lain, terutama tidak memandu ketika mabuk.

"Memang sudah ada kesedaran mereka (pengusaha pusat hiburan), ada yang sudah beli alat pengukur kandungan alkohol. Kita tidak mewajibkan mereka, yang penting mereka yang sudah minum (mabuk), tidak boleh memandu.

"Itu kita sudah syaratkan dalam kempen kita, supaya tidak kira siapa pun mereka, kita menasihatkan supaya patuh kepada Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987)," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada sesi Pertanyaan Bagi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Nizar bertanyakan sama ada kerajaan akan mewajibkan pengusaha kelab malam melakukan ujian pengesanan alkohol terhadap pelanggan sebelum pelanggan itu dibenarkan memandu pulang.

Menjawab lanjut, beliau berkata, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seperti Grab juga digalak membuat promosi secara besar-besaran untuk perkhidmatan pengangkutan khususnya kepada pelanggan di pusat hiburan bagi mengatasi isu pemandu mabuk.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin), Wee berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi utama termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk menggiatkan lagi aktiviti advokasi dan program pendidikan keselamatan jalan raya.

"Saya percaya pelbagai program, kemudahan dan inisiatif boleh diadakan dengan jayanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak.

"Kementerian Pengangkutan berharap supaya Rang Undang-Undang Pindaan yang akan dibentangkan di dalam dewan ini (bagi bacaan kedua dan ketiga) akan mendapat sokongan daripada semua ahli-ahli Yang Berhormat," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 12:39pm
d