mutakhir

Warga emas hilang daki Gunung Korbu

Oleh Balqis Jazimah Zahari

LELAKI warga emas dipercayai hilang ketika mendaki Gunung Korbu di Ipoh bersama seorang rakannya, petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.24 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi.

"Pihak bomba dimaklumkan mangsa berusia 68 tahun dipercayai hilang semasa mendaki Gunung Korbu bersama seorang rakan.

"Difahamkan, pergerakan mangsa bermula pada 31 Julai lalu dengan bermalam di Kem Seroja pada ketinggian 800 meter.

"Pada 1 Ogos lalu, mangsa bersama rakan memanjat puncak Gunung Gayung pada ketinggian 2,173 meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai hilang di Gunung Korbu pada ketinggian 2,183 meter ketika berpatah balik menuju ke Kem Seroja.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula sejak pagi tadi dan masih dijalankan.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 3:05pm
d