mutakhir

Daya saing Malaysia lebih baik berbanding negara jiran

Oleh Amir Abd Hamid

DI SEBALIK cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, Malaysia masih berada di kedudukan yang baik mengatasi negara jiran daripada segi prestasi daya saing.

Berdasarkan laporan 'Doing Business 2020' yang diterbitkan oleh Bank Dunia, Malaysia berada di tangga ke-12 di antara 190 ekonomi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan ini adalah lebih baik berbanding Laporan Tahun 2019 yang mana Malaysia berada pada kedudukan ke-15.

"Prestasi Malaysia pada 2020 mendahului negara maju seperti Jerman (22), Kanada (23), Jepun (29), Perancis (32) dan Switzerland (36).

"Sementara, berdasarkan 'Global Competitiveness Report 2019' yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia berada di kedudukan ke-27 di antara 141 ekonomi.

"Kedudukan Malaysia mengatasi kebanyakan negara jiran seperti Thailand (40), Indonesia (50), Filipina (64) dan Vietnam (67)," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin (Bersatu-Gombak) menjelaskan ketika dunia mendepani impak Covid-19, Malaysia kekal mengamalkan dasar ekonomi yang terbuka dan mesra perniagaan bagi terus menarik minat syarikat untuk melabur di dalam negara.

Sehingga Jun 2020, katanya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sedang menilai 725 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM36.7 bilion.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM19.2 bilion (52.3 peratus) adalah pelaburan langsung domestik dan RM17.5 bilion (47.7 peratus) adalah pelaburan langsung asing.

"Selain itu, sebanyak 141 projek (investment leads) dengan nilai pelaburan RM72.6 bilion yang berpotensi untuk melabur di Malaysia sudah dikenal pasti.

"Bagi memastikan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik kekal tinggi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pasca Covid-19, kerajaan sentiasa mengkaji hala tuju dan strategi pelaburan serta mengenal pasti usaha untuk meningkatkan daya saing negara," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 5:06pm
d