mutakhir

Kontraktor kapal tempur pesisir bakal ditamatkan kontrak [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

MELANTIK syarikat lain sebagai kontraktor penyelamat, projek diteruskan atau tamatkan kontrak.

Itu antara tiga opsyen yang menjadi pertimbangan Kementerian Pertahanan berkaitan hala tuju projek kapal tempur pesisir (LCS) untuk perbekalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengalami kelewatan dalam pembinaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 31 Julai lalu tiada satu pun daripada enam kapal LCS yang disiapkan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

"Status kemajuan kerja keseluruhan ketika projek itu ialah sebanyak 56.67 peratus berbanding perancangan asal 85.73 peratus, iaitu kelewatan selama 31.1 bulan (29.06 peratus).

"Berikutan itu, Memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan ke Kabinet setelah pengurusan tertinggi kementerian membuat semakan akhir terhadap dokumen berkenaan dalam masa terdekat.

"Opsyen pertama, projek diteruskan dengan melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat melalui Deed of Assignment (Surat Ikatan Penyerahhakan) dengan BNSSB menggunakan baki siling kontrak bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS.

"Bagi opsyen kedua, projek diteruskan oleh BNSSB dengan baki siling kontrak bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS," katanya menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya turut menimbangkan untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor yang diberi kontrak membekal enam kapal tempur LCS itu.

"Kementerian mengakui sehingga kini sudah membayar RM6 bilion daripada harga kos pembinaan kapal berkenaan.

"Mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima sehingga kini," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2020 @ 5:39pm
d